BEIJING: China memberi amaran keras akan melancarkan peperangan ke atas Taiwan selepas satu laporan mendakwa kira-kira 30,000 anggota tentera Amerika Syarikat (AS) ditempatkan di wilayah separa autonomi itu.
Lapor The Sun, kapal perang, pesawat anti kapal selam dan jet pejuang milik China dikerahkan untuk latihan ketenteraan berhampiran Taiwan berikutan dakwaan negara itu melakukan `provokasi dan gangguan luar’.
Tindakan itu berikutan seorang ahli Senator parti Republikan dari Texas, John Cornyn menerusi ciapan di Twitter mendakwa terdapat 30,000 tentera AS di Taiwan walaupun tiada anggota dikerahkan ke wilayah itu sejak tahun 1979.
Kenyataan itu mencetuskan kemarahan Ketua Pengarang Global Times, Hu Xijin yang mendakwa Beijing akan segera melancarkan peperangan bagi menghapuskan dan mengusir tentera AS.
“Pihak berkuasa AS dan Taiwan harus tampil menjelaskan perkara ini.
“Sekiranya benar 30,000 tentera AS atau kurang daripada jumlah itu ditempatkan di Taiwan maka China akan segera melancarkan peperangan untuk menghapuskan dan mengusir tentera AS,” ciap Xijin dalam Twitter.
Sebelum ini, Taiwan pernah ‘mengadu’ mengenai tindakan tentera China yang sering melakukan latihan ketenteraan berhampiran kawasan sekitar wilayah itu sejak dua tahun lalu.
Komander Tentera Timur China memaklumkan kapal perang dan pesawat dihantar melakukan latihan tembakan dan ketenteraan bersama anggota tentera berhampiran Taiwan.
Seorang pegawai kanan yang biasa dengan perancangan keselamatan Taiwan memaklumkan tentera udara China kini sedang cuba mengawal ruang udara.
“Selain itu, mereka juga sedang melakukan operasi pengintipan elektronik dengan lebih kerap,” kata pegawai tersebut. – AGENSI










