Bintang TikTok maut jatuh bangunan semasa rakam video - Utusan Malaysia

Bintang TikTok maut jatuh bangunan semasa rakam video

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISTANBUL: Seorang bintang TikTok meninggal dunia selepas terjatuh dari ketinggian 48 meter bersamaan sembilan tingkat bangunan akibat terpijak penutup plastik berwarna kelabu yang di bahagian atap bangunan.

Lapor Daily Mail, sebelum kejadian itu berlaku, mangsa, Kubra Dogan, 23, bersama sepupunya, Helen, 16, naik ke bumbung bangunan apartmen untuk merakam video serta mengambil swafoto dalam TikTok ketika matahari terbenam.

Mangsa sempat memuat naik gambar dan video di atas bangunan itu sekitar pukul 7.30 malam untuk tatapan peminatnya sebelum dia dilaporkan terjatuh.

Kejadian tragis itu berjaya dirakamkan oleh Helen yang menunjukkan Kubra sedang beraksi di depan kamera sebelum duduk di bahagian tepi bumbung.

Kubra kemudian melangkah ke bahagian bawah bangunan ketika Helen memusingkan kamera kembali ke wajahnya.

Kamera itu kemudian bergerak kembali ke arah Kubra dan tidak semena-mena merakamkan insiden dia melangkah ke panel plastik itu sebelum terjunam.

Suara jeritan kuat dapat didengari ketika bintang Tik tok itu terjatuh secara tidak sengaja.

Sepupunya yang berada dalam ketakutan bergegas kembali ke apartmen untuk memberitahu keluarganya mengenai kemalangan itu.

Pasukan paramedik mengesahkan mangsa maut di tempat kejadian.

Bapa saudara mangsa, Nebi Dogan berkata, pihak keluarga akan mengemukakan saman terhadap kontraktor bertanggungjawab kerana memasang panel plastik yang nipis dan tidak akan mengalah selagi mereka tidak dibawa ke muka pengadilan.

Nebi turut memberitahu ahli keluarga sudah memberi peringatan kepada mangsa supaya tidak menghasilkan video TikTok yang berbahaya, namun, mangsa tidak menghiraukannya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya