ABU DHABI: Seorang wanita di Emiriah Arab Bersatu (UAE) dikenakan hukuman penjara selepas didapati membaca mesej telefon bimbit suaminya secara rahsia.
Lapor Suara.com, mahkamah sivil Ras Al Khaimah mengenakan hukuman tersebut terhadap wanita itu selepas suaminya membuat aduan isteri keduanya membaca mesej teks peribadi di telefon bimbitnya.
Wanita itu diperintah membayar pampasan sebanyak 8,100 dirham (RM9,326) kerana melanggar hak privasi suaminya.
Keputusan tersebut dibuat setelah wanita itu didapati bersalah membaca mesej teks disimpan di telefon bimbit suaminya dengan sengaja.
Khaleej Times melaporkan wanita itu melihat semua mesej perbualan peribadi antara suaminya dengan isteri pertama dan anak perempuannya.
Wanita itu juga didapati bersalah mengakses emel suaminya secara rahsia dan berkongsi mesej teks peribadi tanpa kebenarannya.
Pelanggaran hak privasi itu menyebabkan konflik tercetus antara suami dan isteri pertamanya sehingga membawa kepada penceraian.
Lelaki itu pada mulanya menuntut pampasan sebanyak 25,000 dirham (RM28,781) daripada isteri keduanya kerana mengalami kerugian kewangan berikutan pertikaian tersebut.
Bagaimanapun, mahkamah menolak permohonan lelaki itu.
Sebaliknya, mahkamah memerintahkan defenden untuk membayar balik yuran guaman plaintif sebanyak 2,100 dirham (RM2,417), pampasan 8,100 dirham (RM9,326) dan dipenjarakan selama sebulan. – AGENSI










