Arab Saudi yakin boleh tambah jemaah umrah - Utusan Malaysia

Arab Saudi yakin boleh tambah jemaah umrah

Gambar hiasan - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RIYADH: Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi merancang meningkatkan jumlah jemaah umrah sehingga 120,000 orang sehari, berbanding 60,000 pengunjung ketika ini. 

Lapor Saudi Gazette, cadangan itu dibuat berikutan negara itu menjangka menerima kehadiran ramai jemaah umrah tahun ini. 

Setiausaha kementerian, Abdulaziz Wazan berkata, terdapat langkah segera untuk meningkatkan kapasiti umrah harian kepada 90,000 jemaah sebelum dinaikkan menjadi 120,000 orang dengan kerjasama pihak terlibat.

Katanya, kebenaran umrah dikeluarkan oleh pihak berkuasa Arab Saudi meliputi solat di Masjidil Haram di Mekah, mengunjungi Masjid Nabawi di Madinah serta menunaikan solat di Al-Rawda Al-Sharifa. 

“Syarikat Arab Saudi yang menawarkan perkhidmatan kepada jemaah umrah bersiap sedia memberikan kualiti perkhidmatan terbaik,” katanya menerusi wawancara dalam televisyen. 

Dalam pada itu, Direktorat Am Pasport Arab Saudi (Jazawat) selesai melakukan persiapan termasuk aspek teknikal bagi menyediakan perkhidmatan yang diperlukan jemaah umrah dari negara luar. 

Direktorat Pasport di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdul Aziz di Jeddah diarah bersedia menerima penerbangan pertama membawa jemaah baru-baru ini. 

Mereka juga perlu bersedia memproses kemasukan ke negara itu dengan lancar dengan mematuhi langkah pencegahan membendung penularan Covid-19.  

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN