TOKYO: Hampir 70,000 penduduk terpaksa berpindah selepas hujan lebat meningkat ke tahap berbahaya yang menyebabkan risiko banjir dan tanah runtuh.
Agensi Meteorologi Jepun (JMA) berkata, hujan diramalkan berterusan selama beberapa hari di utara wilayah Tohoku hingga selatan Kyushu.
“Terdapat kemungkinan bencana dahsyat akan berlaku dalam beberapa hari akan datang,” katanya.
Di bandar Unzen, selatan Nagasaki, dua rumah ditimpa tanah runtuh yang mengakibatkan seorang wanita berusia 50 tahun dikhuatiri mati.
Hujan paling lebat melanda bandar Hiroshima dengan penduduk diberikan pilihan untuk berpindah serta amaran banjir dikeluarkan.
“Kita sudah mengeluarkan amaran hujan lebat kerana kita tidak pernah mengalami bencana seteruk ini,” katanya.
Menteri Tanah turut memberikan amaran mengenai paras air di tiga sungai yang boleh melimpah melibatkan wilayah Hiroshima dan selatan Kumamoto. -AFP










