27 kanak-kanak maut dalam tempoh tiga hari di Afghanistan - Utusan Malaysia

27 kanak-kanak maut dalam tempoh tiga hari di Afghanistan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KABUL: Sekurang-kurangnya 27 kanak-kanak terbunuh di Afghanistan dalam tempoh tiga hari di tengah-tengah pertempuran antara Taliban dan pasukan tentera negara ini.

Menurut Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) menerusi kenyataan, kekejaman yang dilakukan terhadap kanak-kanak semakin meningkat setiap hari.

Jelas kenyataan itu, 27 kematian kanak-kanak itu direkodkan di tiga wilayah iaitu Kandahar, Khost dan Paktia.

Menurut UNICEF, seramai 136 kanak-kanak juga dilaporkan cedera di kawasan tersebut sejak tiga hari lalu.

“Afghanistan sudah lama menjadi salah sebuah tempat paling buruk untuk kanak-kanak namun sejak 72 jam lalu, keadaan itu semakin teruk,” kata wakil UNICEF di Afghanistan, Samantha Mort kepada BBC.

Jelasnya, kanak-kanak terbunuh dan cedera dalam serangan bom tepi jalan dan insiden tembakan.

Sejak beberapa minggu lalu, Taliban cuba menguasai bandar-bandar utama di seluruh Afghanistan selepas AS dan negara asing lain mula menarik keluar pasukan tenteranya.

Setakat ini, enam bandar sudah jatuh ke tangan Taliban sejak Jumaat lalu.

Mereka juga menolak gesaan antarabangsa untuk melaksanakan gencatan senjata.

Lebih 1,000 orang awam terbunuh akibat konflik yang berlaku sejak sebulan lalu. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN