LONDON: Seorang wanita ditahan kerana menyerang sekumpulan anggota polis yang menyerbu dan menghentikan sebuah parti yang diadakan di rumahnya ketika perintah berkurung dilaksanakan.
Wanita itu yang dipercayai mabuk bertindak di luar kawalan dengan menggigit tangan seorang polis dan menendang seorang lagi anggota sehingga menyebabkan kecederaan.
Lapor Daily Star, Maria White, 27, dari Greenwood Avenue di Hull mengaku bersalah menyerang tiga anggota polis, 13 Mac lalu.
HullLive melaporkan, ketika kejadian, White menjadi agresif dan mengigit tangan seorang konstabel sehingga berdarah.
“Dia juga mengugut melepaskan anjing yang diikat di rumahnya untuk menyerang polis yang datang ke rumahnya,” jelas laporan itu.
Mahkamah dimaklumkan kejadian itu berlaku selepas polis menerima aduan bunyi bising yang mengganggu ketenteraman awam di kawasan perumahan tersebut.
Dilaporkan, White mempunyai rekod kesalahan trafik lampau.
White dikenakan hukuman penjara selama 16 minggu yang ditangguhkan dan dilarang keluar dari pukul 8 malam hingga 7 pagi. – AGENSI










