MINA: Pihak berkuasa kesihatan Arab Saudi memaklumkan tiada kes Covid-19 dikesan dalam kalangan jemaah haji tahun ini.
Lapor Arab News, Kementerian Haji, Kesihatan dan Keselamatan dalam sidang akhbar di Mekah semalam memaklumkan semua langkah pencegahan wabak itu dilaksanakan sepenuhnya.
Jurucakap kementerian itu, Dr. Mohammed Al-Abd Al-Aly berkata, tiada kes jangkitan dilaporkan setakat ini.
Katanya, protokol kesihatan dan langkah pencegahan dapat memastikan keselamatan musim haji kali ini.
Jelasnya, fasa pertama protokol itu bermula sejurus ketibaan jemaah di Masjidil Haram di Mekah bagi permulaan ibadah haji, Sabtu lalu.
“Dalam fasa ini, kami akan memastikan semua jemaah menerima suntikan vaksin yang diperlukan.
“Fasa kedua termasuk menyebarkan kesedaran dalam kalangan jemaah haji serta memperkenalkan langkah pencegahan.
“Disebabkan jemaah haji datang dari pelbagai negara, kempen kesedaran turut dilancarkan dalam pelbagai bahasa,” katanya.










