LONDON: Seorang bayi lelaki berusia sebulan dilaporkan cedera dan dikejarkan ke hospital selepas sebahagian siling sebuah pasar raya runtuh dan menimpa troli yang membawa anak kecil itu.
Lapor Daily Star, kejadian itu berlaku di sebuah cawangan Pasar Raya Asda di Cavendish Street di Greater Manchester pada Khamis lalu.
Menurut beberapa saksi, bayi itu hanya mengalami cedera ringan selepas sebahagian siling bersama beberapa panel aluminium runtuh secara tiba-tiba lalu terkena troli tersebut.
“Selepas insiden tersebut, keluarga itu bersama bayinya telah dibawa ke hospital.
“Kami mendapati bayi itu kini berada dalam keadaan baik,” kata seorang jurucakap dari pasar raya Asda.
Jelas jurucakap itu, pengurusan Asda akan memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa berkaitan berhubung insiden tersebut.
Katanya, ketika kejadian, semua pelanggan telah dipindahkan secara selamat.
Beberapa gambar menunjukkan serpihan siling bertaburan di atas lantai berhampiran kaunter pembayaran di pasar raya tersebut. – AGENSI