TEHRAN: Seorang lelaki berusia 30 tahun maut ditembak semasa protes kekurangan bekalan air memasuki hari kedua di kawasan barat di Iran.
Iran berdepan kemarau terburuk dalam tempoh 50 tahun dengan protes berlaku di beberapa bandar di Khuzestan mengenai krisis air yang memberi kesan kepada isi rumah, merosakkan pertanian dan penternakan serta menyebabkan bekalan eletrik terputus.
Pemangku Gabenor daerah, Omid Sabripour berkata, insiden kematian itu berlaku sejak Jumaat lalu di bandar Khuzestan di Shadegan.
“Semasa rusuhan berlaku, peserta protes melepaskan tembakan di udara untuk memprovokasi orang ramai, namun, satu peluru tersasar dan mengenai seorang mangsa yang berada di tempat kejadian,” katanya.
Media Iran menyiarkan video mengenai ayah mangsa, Mostafa Naimawi yang menjelaskan anaknya ditembak oleh peserta protes dan bukan dari anggota keselamatan kerajaan.
“Anak lelaki saya tidak mencetuskan sebarang masalah dan tiada kaitan dengan protes tersebut,” luahnya.
Video yang tersebar dalam media sosial menunjukkan peserta protes membakar tayar untuk menghalang jalan dan anggota keselamatan cuba menyuraikan kehadiran orang ramai. -AGENSI









