HAVANA: Pihak berkuasa Cuba mengesahkan seorang lelaki maut dalam kejadian rusuhan yang berlaku di negara itu.
Lapor BBC, ia merupakan kes kematian pertama yang dilaporkan sejak tunjuk perasaan antikerajaan terbesar diadakan di Havana dan beberapa bandar lain.
Media tempatan melaporkan Diubis Laurencio Tejeda, 36, meninggal dunia di pinggir bandar Havana pada Isnin lalu.
Menurut pegawai, Tejeda merupakan sebahagian kumpulan yang menyerang sebuah fasiliti kerajaan.
Namun, beberapa saksi mendakwa pasukan keselamatan menyasarkan anggota kumpulan tersebut.
Tunjuk perasaan antikerajaan yang jarang berlaku di Cuba, bermula pada Ahad lalu.
Ribuan penduduk menyertai protes itu berikutan tidak puas hati dengan krisis ekonomi, kekurangan bekalan makanan dan perubatan, kenaikan harga barangan dan cara pengurusan pandemik Covid-19 di negara itu.
Lebih 100 penunjuk perasaan ditahan dan ramai ahli keluarga masih mencari maklumat mengenai keberadaan mereka. – AGENSI










