LONDON: Semua kanak-kanak di United Kingdom (UK) akan diberikan suntikan vaksin hujung tahun ini bagi mengawal penularan jangkitan Covid-19 dalam kalangan masyarakat.
Lapor Daily Mail, kementerian akan memberikan suntikan vaksin kepada individu berusia lebih 12 tahun yang terdedah dengan jangkitan wabak.
Pihak kerajaan sedang menunggu maklumat data keselamatan daripada ujian klinikal dan dari Amerika Syarikat (AS) untuk memberikan suntikan vaksin kepada semua golongan berusia di bawah 18 tahun.
Menteri vaksin, Nadhim Zahawi berkata, pihak kerajaan mahu mengkaji terlebih dahulu semua data keselamatan berhubung kebimbangan mengenai ‘petunjuk sangat janggal’ terhadap beberapa golongan muda yang mengalami keradangan jantung selepas menerima suntikan vaksin.
Jawatankuasa Bersama Vaksinasi dan Imunisasi dijangka memberikan nasihat kepada kerajaan untuk memberikan suntikan kepada kanak-kanak berusia 12 hingga 15 tahun yang mengalami keadaan kesihatan yang serius serta remaja 17 tahun.
Jawatankuasa itu akan menunggu hasil daripada kanak-kanak yang menerima suntikan dua dos vaksin di AS sebelum mengesyorkan semua kanak-kanak disuntik di negara ini.
Semua kanak-kanak berusia 12 tahun ke atas dijangka menerima suntikan vaksin Pfizer yang diluluskan oleh Agensi Pengawal Seliaan Produk Perubatan dan Penjagaan Kesihatan.
Pfizer dalam ujian percubaan melakukan suntikan kepada kanak-kanak berusia dua hingga 11 tahun, sementara, AstraZeneca melalui ujian klinikal terhadap kanak-kanak berusia enam hingga 17 tahun.