SINGAPURA: Seorang remaja lelaki berusia 16 tahun didakwa atas tuduhan membunuh pelajar dari Sekolah River Valley High, semalam.
Berita MEdiacorp melaporkan, remaja itu, yang tidak boleh didedahkan namanya kerana masih bawah umur dan dilindungi di bawah Akta Kanak-Kanak dan Orang Muda dikenakan satu tuduhan membunuh.
Dia dituduh menyebabkan kematian seorang pelajar lelaki Menengah 1 yang berusia 13 tahun antara pukul 11.16 pagi dengan 11.44 pagi semalam, di sebuah tandas di tingkat empat sekolah itu di 6 Boon Lay Avenue.
Tertuduh, yang merupakan seorang pelajar Menengah 4, dihadapkan ke mahkamah melalui pautan video ketika ditahan reman.
Polis sebelum ini menyatakan pihaknya menerima panggilan meminta bantuan di sekolah itu pada kira-kira 11.40 pagi semalam.
Para pegawai menemukan mangsa terbujur dengan pelbagai kesan luka di sebuah tandas di sekolah itu.
Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan sebilah kapak dirampas sebagai bukti kes.
Siasatan awal menunjukkan tertuduh dan mangsa tidak saling mengenali.
Sungguhpun demikian, polis akan terus menyiasat motif di sebalik kejadian itu.
Pihak pendakwa meminta mahkamah untuk meluluskan permintaan mereman tertuduh bagi tujuan penilaian psikiatri.
Hukuman bagi kesalahan membunuh termasuk hukuman mati.
Namun menurut Seksyen 314 Kanun Prosedur Jenayah, hukuman mati tidak boleh dilaksanakan atau dijatuhkan ke atas tertuduh yang berusia bawah 18 tahun sewaktu melakukan kesalahan tersebut.
Sebaliknya, dia boleh dihukum penjara seumur hidup.
Dalam kenyataannya semalam, polis menggesa orang ramai supaya jangan membuat sebarang spekulasi berhubung kes tersebut demi menghormati keluarga mangsa.










