BANGKOK: Polis Thailand terpaksa melepaskan semburan meriam air ke arah peserta protes hari ini selepas mereka menggesa Perdana Menteri Thailand, Prayut Chan-o-Cha meletakkan jawatan.
Demonstrasi yang dianjurkan turut menandakan ulang tahun pertama penubuhan gerakan pro-demokrasi di negara itu.
Thailand berdepan lonjakan kes Covid-19 yang teruk dengan hospital mengalami tekanan akibat kes jangkitan harian.
Keadaan bertambah buruk akibat kelembapan pemberian vaksin kepada orang ramai sekali gus mengundang kritikan daripada semua pihak mengenai ekonomi negara yang semakin lemah akibat sekatan perniagaan yang dilakukan.
Peserta protes bukan sahaja melanggar arahan perhimpunan yang tidak boleh berhimpun melebihi seramai lima orang, malah menumpahkan cat merah pada beg galas yang dibawa di persimpangan Monumen Demokrasi.
Mereka dipimpin oleh kumpulan barisan hadapan yang memakai topeng gas serta disertai oleh penunggang motosikal.
“Kami akan mati akibat Covid-19 sekiranya kekal berada di rumah, sebab itu kami keluar hari ini.
“Prayut Chan-o-Chan mesti meletakkan jawatan tanpa sebarang syarat, kedua bajet mesti dipotong dalam keluarga monarki dan tentera digunakan untuk membendung Covid-19 serta bawa masuk vaksin mRNA,” jerit seorang peserta protes. -AFP