MINA: Presiden Lembaga Bulan Sabit Merah (SRCA) Arab Saudi, Dr. Jalal Al-Owisi melancarkan pusat arahan bergerak yang mengawal setiap operasi serta berfungsi sebagai bilik kawalan ketika kejadian kecemasan berlaku semasa musim haji.
Lapor Arab News, pusat itu berupaya membekalkan gambar komprehensif dari kawasan ibadah haji menerusi kelengkapan kamera yang dipasang.
Pusat itu akan menerima laporan dan menyalurkan terus kepada pasukan kecemasan yang berada di sekitar tempat kejadian.
Ia dilengkapi dengan peralatan bagi membantu menyampaikan tugasan spesifik kepada pasukan pengurusan insiden serta membekalkan arahan dengan bekalan audio dan video langsung bagi memudahkan proses membuat keputusan.
Bilik operasi itu turut mengandungi sistem kamera dan komunikasi bersama bilik mesyuarat yang menyiarkan situasi semasa di setiap tempat serta memastikan pasukan yang bertugas dalam keadaan bersedia ketika kecemasan berlaku.
SRCA turut membekalkan empat kenderaan Thuraya yang akan beroperasi sepanjang musim haji dan ditempatkan di setiap titik operasi.










