LONDON: Perdana Menteri Britain, Boris Johnson perlu menjalani kuarantin kendiri selama 10 hari selepas menjadi kontak rapat dengan Menteri Kesihatan, Sajid Javid yang disahkan positif Covid-19.
Terdahulu, Johnson hanya perlu menjalani kuarantin kendiri apabila tidak masuk ke pejabat dan hanya dibenarkan melakukan tugasan rasmi.
Namun, keputusan itu ditarik semula selepas pelbagai pihak mengkritik keputusan pejabat perdana menteri yang disifatkan ‘pilih kasih’ untuk ahli politik.
Downing Street sebelum ini mengumumkan Johnson tidak perlu menjalani kuarantin kendiri sepenuh masa, sebaliknya harus menjalani ujian saringan Covid-19 setiap hari.
“Perdana menteri dan menteri kewangan, Rishi Sunak perlu menjalani ujian saringan harian itu bagi membolehkan mereka bekerja terus dari Downing Street.
“Mereka hanya dibenarkan melakukan tugasan rasmi dalam tempoh ini dan perlu kuarantin kendiri apabila tidak masuk ke pejabat,” jelas sumber di Downing Street.
Kedua-duanya sebelum itu menghadiri satu mesyuarat bersama barisan menteri di Downing Street. – AFP