PARIS: Parlimen Perancis mengundi untuk meluluskan rang undang-undang (RUU) pasport Covid-19 sebagai ‘keperluan harian’ sebagai usaha mengekang penularan virus maut itu di negara ini.
Sebanyak 156 undian bersetuju dengan rang undang-undang tersebut, 60 membantah dan 14 lagi bersikap berkecuali.
Keputusan itu dicapai sehari selepas ratusan ribu penduduk di negara ini berhimpun dan berarak di beberapa bandar utama bagi membantah pelaksanaan undang-undang tersebut.
Presiden Emmanuel Macron pada minggu lalu mengarahkan pas kesihatan yang menunjukkan bukti vaksinasi atau keputusan negatif Covid-19 diperlukan untuk memasuki premis awam termasuk restoran dan panggung wayang.
Selain itu, semua petugas perubatan di negara ini juga diwajibkan mengambil vaksin Covid-19 atau mereka berdepan pemecatan atau tidak dibayar gaji.
Rang undang-undang itu perlu diluluskan oleh Majlis Perlembagaan Perancis sebelum dikuat kuasa sebagai undang-undang. – AFP