MADHYA PRADESH: Seorang lelaki di sini sanggup memalsukan ujian Covid-19 kerana ingin ‘melarikan diri’ dari isterinya yang suka bertengkar.
Lapor India Today, lelaki tersebut yang dikenali sebagai Ejaz Ahmed memaklumkan kepada isteri dan keluarganya bahawa dia positif Covid-19 dan perlu menjalani kuarantin di tempat yang disediakan pihak berkuasa.
Ejaz didakwa memalsukan keputusan ujian tersebut menggunakan perisian Photoshop.
Selepas menunjukkan keputusan palsu itu, Ejaz keluar dari rumahnya.
Namun, selepas sebulan, Ejaz masih belum pulang ke rumahnya dan keadaan itu menimbulkan rasa curiga pada isterinya.
Isteri Ejaz meminta bapanya memeriksa jika keputusan ujian Covid-19 yang ditunjukkan suaminya sebelum ini benar atau palsu.
Selepas menghubungi makmal, isteri Ejaz akhirnya mengetahui bahawa keputusan itu adalah palsu, malah suaminya tidak pernah melakukan sebarang ujian Covid-19.
Isteri Ejaz kemudiannya membuat laporan polis dan kedudukan lelaki itu masih belum diketahui.










