JAKARTA: Beberapa menteri Kabinet Indonesia membuat permohonan maaf mengenai pelaksanaan Pemberlakuan Pembatasan Kegiatan Masyarakat (PPKM) darurat Jawa-Bali dalam membendung penularan wabak Covid-19.
Lapor Kompas.com, permohonan maaf kali pertama disampaikan oleh Menteri Penyelaras Kemaritiman dan Pelaburan yang juga merupakan penyelaras PPKM, Luhut Binsar Pandjaitan.
Permohonan maaf itu dibuat menerusi sidang akhbar secara maya, Sabtu lalu.
“Sebagai penyelaras PPKM Darurat Jawa-Bali, daripada lubuk hati paling dalam, saya ingin meminta maaf kepada seluruh rakyat Indonesia jika dalam penanganan PPKM masih belum mencapai tahap maksimum,” katanya.
Luhut berjanji pemerintah akan terus bekerja keras sehingga penularan kes Covid-19 akibat varian Delta dapat diturunkan.
Sebelum ini, kenyataan Luhut yang memberitahu pandemik Covid-19 terkawal ketika kes baharu terus meningkat menimbulkan kemarahan orang ramai.
Seterusnya, adalah giliran Menteri Badan Usaha Milik Negara (BUMN), Erick Thohor membuat permohonan maaf kepada seluruh rakyat Indonesia sekiranya beliau tidak menjalankan tugas dengan sempurna.
“Kementerian BUMN dengan rendah hati memohon maaf ketika penugasan yang diberikan kepada kami tidak sempurna kerana kesempurnaan hanya milik Allah SWT,” jelasnya.
Sebelum permohonan maaf itu dibuat, Presiden Indonesia, Joko Widodo mengingatkan kepada barisan menterinya supaya tidak menimbulkan keresahan masyarakat dalam menangani pandemik Covid-19 ketika mengeluarkan kenyataan rasmi.
Jokowi turut memberi peringatan kepada barisan menteri supaya menyampaikan maklumat dalam bahasa yang tenang dan optimis.
“Jangan sampai dalam kalangan kita tidak sensitif terhadap hal-hal seperti ini.
“Jangan sampai masyarakat kecewa gara-gara kesalahan kita dalam berkomunikasi serta kesalahan-kesalahan kita dalam menjalankan sebuah polisi,” tegasnya.










