TEBING BARAT: Seorang kanak-kanak lelaki yang cedera terkena tembakan tentera Zinois di sini dilaporkan meninggal dunia.
Menurut Kementerian Kesihatan Palestin, Mohammed al-Alami, 12, meninggal dunia di pekan Beit Omar selepas dia cedera ditembak pada bahagian dada ketika menaiki kereta bersama bapanya.
Mohammed merupakan penduduk Palestin kedua termuda yang maut akibat ditembak tentera Israel dalam tempoh beberapa hari lalu.
Datuk Bandar Beit Omar, Nasri Sabarneh berkata, ketika kejadian, Mohammed menaiki kereta bersama bapa dan kakaknya sebelum dia meminta bapanya menghentikan kereta di sebuah kereta untuk membeli sesuatu.
“Ketika bapanya membuat pusingan untuk pergi kedai, tentera Zionis yang berada di kawasan berhampiran menjerit dan memintanya menghentikan kereta.
“Tentera Israel kemudiannya melepaskan tembakan ke arah kenderaan tersebut dan mengenai Mohammed,” katanya.
Sabtu lalu, seorang remaja Palestin, Mohammed Munir al-Tamimi, 17, meninggal dunia akibat terkena tembakan Zionis di Beita.










