JAKARTA: Indonesia diramal akan menjadi negara terakhir di dunia yang dapat keluar daripada krisis pandemik Covid-19 jika tiada tindakan strategik luar biasa dilaksanakan terhadap pemulihan kesihatan.
BBC News Indonesia melaporkan, ini kerana hampir satu setengah tahun pandemik itu menyerang dunia, tindakan yang diambil pemerintah lebih dipengaruhi kompromi politik dan ekonomi berbanding kesihatan.
Keadaan seperti itu, jelas pemerhati kesihatan awam, dibimbangi akan melenyapkan kepercayaan rakyat terhadap kerajaan dan mampu memicu aksi protes besar-besaran.
Bagaimanapun kerajaan menafikan anggapan berkenaan dan menjanjikan penambahan Anggaran Pendapatan dan Belanja Negara (APBN) untuk kesihatan pada tahun depan.
Sepanjang pandemik Covid-19 ini, kerajaan Indonesia telah melaksanakan lima tindakan.
Mulai daripada Pembatasan Sosial Berskala Besar (PSBB) pada Mac 2020, kemudian Pelaksanaan Pembatasan Kegiatan Masyarakat (PPKM) mulai Januari lalu.
Kemudiannya pemerintah melaksanakan PPKM Mikro di seluruh wilayah dan menggantikannya kepada PPKM Darurat pada awal Julai di wilayah Jawa-Bali ekoran melonjaknya kes jangkitan setelah Aidilfitri.
Setelah habisnya jangka waktu penerapan PPKM Darurat, kerajaan melanjutkan dengan membuat aturan baharu iaitu PPKM Tahap 1 hingga 4 sehingga 2 Ogos ini.
Bagaimanapun Epidemiologi dari Griffith University Australia, Dicky Budiman menilai seluruh tindakan itu banyak dipengaruhi kompromi politik dan ekonomi berbanding kesihatan.
Beliau memberi contoh tindakan pemerintah untuk tetap mengadakan pemilihan daerah (Pilkada) atau pilihan raya daerah secara serentak pada Disember lalu meskipun ditentang pakar kesihatan.
“Pada tahun pertama, pemerintah memandang rendah pandemik dan keputusan yang diambil tidak berdasarkan sains. Pada tahun kedua, mereka ingin ‘berjalan dengan dua kaki’, iaitu kesihatan dan ekonomi tetapi tidak seimbang. Kesihatan berada pada tahap lemah,” jelas Dicky Budiman.
Katanya, dasar yang penuh dengan kompromi telah memberi kesan besar kepada sektor kesihatan.
Indonesia berada di kedudukan teratas sebagai penyumbang tertinggi kes dan kematian harian di dunia dalam beberapa hari ini.
Beliau meramalkan Indonesia akan menjadi negara terakhir di dunia yang keluar daripada krisis pandemik Covid-19 jika tidak ada ‘perubahan strategi yang luar biasa’.
Pemerhati dasar awam dari Universiti Indonesia, Zuliansyah, menilai pemerintah tidak memiliki senario dasar yang matang walaupun wabak tersebut telah berjalan lebih setahun.