JAKARTA: Indonesia sudah melaksanakan program vaksinasi untuk kanak-kanak berusia 12 hingga 17 tahun.
Namun, vaksin untuk kanak-kanak di bawah usia 12 tahun masih belum ada sedangkan terdapat peningkatan kes Covid-19 dalam kalangan umur tersebut.
Lapor The Independent, vaksin Covid-19 untuk kanak-kanak di bawah usia 12 tahun akan tersedia beberapa bulan akan datang.
Meskipun vaksin sudah tersedia untuk golongan dewasa, tetapi dos tersebut tidak boleh diberikan kepada kanak-kanak.
Seorang doktor di University Duke serta penyelidik vaksin Pfizer, Dr. Chip Walter berkata, dia sangat memahami kekhuatiran golongan dewasa yang mahu anak-anak mereka menerima suntikan vaksin.
Namun, katanya, dia perlu memastikan melakukan perkara terbaik untuk kanak-kanak.
Kajian vaksin Pfizer mengklasifikasikan 4,600 kanak-kanak dalam tiga kelompok iaitu berusia lima hingga 11 tahun, dua hingga lima tahun serta bayi berusia enam bulan hingga dua tahun.
“Hasil ujian klinikal untuk anak-anak berusia lima hingga 11 tahun berkemungkinan akan keluar sekitar September depan serta bergantung kepada penemuan,” jelasnya.
Setelah hasil ujian klinikal keluar, mereka akan berusaha meminta Badan Penyelia Ubatan dan Makanan (FDA) Amerika Syarikat memberikan keizinan penggunaan darurat vaksin dalam bulan yang sama.
Sementara itu, hasil ujian klinikal bagi kanak-kanak berusia dua hingga lima tahun mungkin dapat diperoleh selepas data bagi lima hingga 11 tahun keluar.
Bagi bayi berusia enam bulan hingga dua tahun, Pfizer berkata, hasilnya dijangka diperoleh pada Oktober atau November depan.