SANAA: Beberapa penduduk di Taez, Yaman merayakan Aidiladha dengan mengorbankan ayam, salah seorangnya adalah Fadel al-Sbei.
Dia hanya mampu mengorbankan dua ekor ayam untuk disembelih ‘sekadar syarat’ untuknya menerbitkan rasa ikhlas di hatinya terhadap nilai-nilai korban.
Fadel merupakan bapa kepada enam orang anak. Dia hanya mendapat upah AS$2 (RM8.45) sehari dengan bekerja sebagai pengirim barang.
Hal itu membuatkannya mengalami kesulitan untuk membeli kambing, unta atau lembu sebagai haiwan korban ketika Aidiladha.
Bagaimanapun Fadel tidak bersendirian.
Banyak lagi penduduk Yemen hidup dalam kemiskinan akibat perang saudara yang menjerumuskan mereka kepada krisis kemanusiaan terburuk di dunia, berdasarkan data Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
“Bahkan harga pakaian pun sangat mahal dan saya tidak mampu membelinya. Hidup ini sangat sulit,” jelas Fadel.
Riyal Yaman berada pada tahap terendah berbanding dolar.
Di beberapa daerah, AS$1 bersamaan 1,000 riyal Yaman.
Taez, kawasan yang dikepung pemberontak Houthi, menjadi daerah paling terkesan sejak konflik berlaku pada 2014.
Keperitan hidup dirasai Fadel turut dialami Mohammed al-Sharaabi.
“Harga ternakan benar-benar tidak masuk akal. Kami tak mampu nak beli lembu atau kambing kerana harganya sangat mahal.
“Kami dalam keadaan menyedihkan,” katanya.
Sekitar lima juta orang di Yaman berada dalam ambang kebuluran.
Konflik Yaman bermula pada 2014 ketika ibu kota Sanaa jatuh ke tangan pemberontak Houthi. – AFP










