Juruterbang termuda keliling dunia secara solo - Utusan Malaysia

Juruterbang termuda keliling dunia secara solo

TRAVIS Ludlow mencipta Rekod Dunia Guinness baharu selepas lakukan penerbangan solo sejauh 40,233.6 kilometer dalam tempoh 44 hari. - SWNS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Seorang remaja dilaporkan menjadi juruterbang paling muda mengelilingi dunia secara solo selepas mendarat pesawatnya di Belanda.

Lapor Daily Mail, Travis Ludlow yang berusia 18 tahun dan 149 hari, mencipta Rekod Dunia Guinness baharu selepas berjaya melakukan penerbangan solo sejauh 25,000 batu atau 40,233.6 kilometer (km) dalam tempoh 44 hari.     

Ekspedisi yang amat mencabar itu menyaksikan Ludlow dari Ibstone, Buckinghamshire menghabiskan masa sehingga lapan jam untuk mengendalikan pesawat enjin tunggal, Cessna 172 N5010.

Jelas laporan itu, kadang-kala Ludlow terpaksa menempuh perjalanan sejauh 1,000 batu atau 1609.34 km tanpa henti dalam sehari.

Ludlow juga berjaya memecahkan rekod dipegang oleh Mason Andrews dari Louisiana, Amerika Syarikat (AS), yang berusia 18 tahun dan 163 hari ketika menamatkan perjalanannya pada Oktober 2018.

Menurut laporan itu, Ludlow memulakan perjalanannya dari Teuge di Belanda pada 29 Mei lalu selepas terpaksa menangguhkan tarikh asalnya iaitu pada 20 Jun tahun lalu akibat pandemik Covid-19.

Ekspedisi mengelilingi dunia yang bermula dan berakhir di Belanda, menyaksikan remaja itu melakukan pendaratan di 13 buah negara.

Negara itu membabitkan Belanda, Poland, Rusia, AS, Kanada, Greenland, Iceland, United Kingdom (UK), Ireland, Sepanyol, Maghribi, Perancis dan Belgium.      

Dilaporkan, Ludlow juga menerima suntikan kedua vaksin Covid-19 sepanjang ekspedisinya ketika berhenti di Texas, AS.

Ludlow perlu menempuh jarak perjalanan sekurang-kurangnya 39,461.11 km untuk memecahkan rekod dunia.

Namun, dia berjaya melepasi perjalanan itu dengan melakukan penerbangan sejauh 2,092.14 km dari Donegal di Ireland ke Gibraltar di selatan Sepanyol.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN