Junta tentera Myanmar ' tidak kisah rakyat mati akibat Covid-19' - Utusan Malaysia

Junta tentera Myanmar ‘ tidak kisah rakyat mati akibat Covid-19’

PASUKAN sukarelawan melakukan solat jenazah Covid-19 di Mandalay, Myanmar. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

YANGON: Seperti tiada kesudahan, junta tentera Myanmar terus bertindak agresif dengan menahan sejumlah doktor yang terlibat dalam protes anti rampasan kuasa.

Langkah itu menyaksikan junta tentera negara ini sebenarnya tidak kisah dengan pandemik Covid-19 yang melanda dan pada mereka, kuasa serta kedudukan dalam kerajaan lagi penting.

Situasi itu juga menunjukkan, junta tentera tidak kisah jika banyak rakyat negara ini mati akibat Covid-19, asalkan terus berkuasa dan semua pihak patuh arahan mereka.

Pergolakan politik yang berlaku sejak Februari lalu menyaksikan kes jangkitan Covid-19 di negara ini semakin teruk, ditambah dengan sistem kesihatan yang lumpuh selepas ramai doktor ditangkap junta tentera.

Sehingga Khamis, Myanmar merekodkan lebih 6,000 kes jangkitan baharu Covid-19 dan 286 kematian dicatatkan sehari sebelum itu.

Golongan petugas perubatan dan perkhidmatan pengebumian menyatakan jumlah kematian sebenarnya lebih tinggi daripada yang dilaporkan.

Usaha murni kumpulan doktor di negara ini dalam merawat pesakit Covid-19 tetap diteruskan biarpun mereka berdepan dengan ancaman ditangkap tentera atas alasan yang tidak boleh dijelaskan.

Disebabkan ramai penduduk takut untuk pergi ke hospital kerana khuatir ditangkap tentera, mereka sanggup jalani rawatan Covid-19 di rumah dengan pemantauan doktor menerusi telefon.

Bagi kes serius, doktor akan pergi ke rumah pesakit dan memberikan rawatan yang sepatutnya.

Namun, sejak beberapa minggu lalu, sembilan doktor sukarelawan yang memberi rawatan percuma menerusi telefon atau kunjungan rumah ditahan junta.

Seorang doktor yang enggan dikenali memberitahu, para pakar perubatan akan memberi nasihat serta panduan kepada pesakit Covid-19 mengenai cara bernafas, menggunakan oksigen dan ubat-ubatan dengan cara betul menerusi telefon.

“Kami memberikan ‘rawatan perubatan menerusi telefon’ kepada ratusan pesakit sehari dan risiko kematian amat tinggi memandangkan tiada kelengkapan rawatan,” katanya.

Junta tentera turut dilaporkan guna taktik kotor untuk ‘mengumpan para doktor’ dengan menyamar sebagai pesakit Covid-19 sebelum menahan mereka. 

Persatuan Bantuan Tahanan Penjara memaklumkan ratusan doktor yang menyertai protes anti junta didakwa menyebarkan berita palsu dan 73 lagi ditahan. – REUTERS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya