SCHULD: Lebih 1,000 orang dilaporkan masih hilang dalam kejadian banjir besar melanda barat Eropah.
Sebahagian besar perkampungan dan pekan di barat Jerman, Belgium dan Belanda musnah ditenggelami air akibat bencana itu.
Pasukan kecemasan giat menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa ketika angka kematian akibat banjir kini mencecah lebih 150 orang.
Di barat Jerman, dua negeri yang paling teruk dilanda banjir adalah Rhineland-Palatinate dan North Rhine Westphalia.
Pihak berkuasa di RhinelandPalatinate memaklumkan lebih 90 orang meninggal dunia termasuk 12 penghuni di rumah jagaan golongan kurang upaya di pekan Sinzig.
Di North Rhine-Westphalia pula, pegawai tempatan berkata, seramai 43 orang maut dalam kejadian itu dan menjangkakan angka kematian akan meningkat lagi.
Presiden Jerman, FrankWalter Steinmeier menyifatkan bencana yang menimpa negara itu amat mendukacitakan.
Beliau juga berjanji untuk memberi sokongan termasuk bantuan kewangan kepada keluarga mangsa yang maut serta bandar dan pekan terjejas dalam kejadian tersebut.
Di Belgium, Menteri Dalam Negeri, Annelies Verlinden berkata, angka kematian meningkat kepada 27 orang manakala 20 penduduk lagi masih hilang.
Katanya, paras air di Sungai Meuse yang mengalir dari Belgium ke Belanda semakin kritikal malah beberapa benteng berisiko runtuh.
Perdana Menteri Belgium, Alexander De Croo mengisytiharkan Selasa sebagai hari berkabung.
Beliau turut menyifatkan bencana itu sebagai malapetaka paling dahsyat pernah melanda negara tersebut.
Di Belanda, pihak berkuasa di pekan Venlo berjaya memindahkan pesakit hospital berikutan ancaman banjir dari sungai berdekatan.
Hujan lebat menyebabkan air sungai melimpah dan tebing pecah hingga membanjiri kawasan berhampiran.
Bencana itu turut menyebabkan bekalan elektrik terputus sehingga ratusan ribu rumah terpaksa bergelap.
TENTERA DIKERAHKAN
Jurucakap Kementerian Pertahanan, Arne Collatz berkata, tentera Jerman mengerahkan lebih 850 anggota tenteranya untuk turut membantu dalam usaha menyelamat dan pemindahan mangsa.
Dilaporkan, Itali menghantar pasukan penyelamat dan bomba ke Belgium untuk membantu operasi mencari dan menyelamat mangsa yang masih hilang.
Perdana Menteri Perancis, Jean Castex berkata, pihaknya menghantar 40 anggota tentera dan sebuah helikopter ke Belgium bagi membantu menangani situasi banjir. – AGENSI