MEKAH: Kumpulan jemaah haji mula berpusu-pusu ke Masjidil Haram bagi menunaikan tawaf dengan mematuhi protokol kawalan pencegahan Covid-19.
Lapor Arab News, jemaah haji mula menunaikan Tawaf sebelum bermalam di Mina sebagai persediaan melakukan perjalanan ke Bukit Arafah yang menandakan kemuncak pelaksanaan ibadah haji.
Sejak semalam, kumpulan jemaah haji mula menunaikan Tawaf mengelilingi Kaabah.
Timbalan Menteri Haji dan Umrah, Abdelfattah Suleiman Mashat memberitahu AFP, seramai 46,000 jemaah sudah tiba di Mina.
Katanya, bilangan jemaah haji wanita meningkat sebanyak 40 peratus.
Kerajaan Arab Saudi menggariskan beberapa protokol yang perlu dipatuhi bagi memastikan keselamatan jemaah haji selain melakukan pembersihan dan operasi nyahkuman di sekeliling Masjidil Haram.










