Jangkitan Covid-19 dikaitkan pelabuhan ikan, ikan dicemari Covid-19? - Utusan Malaysia

Jangkitan Covid-19 dikaitkan pelabuhan ikan, ikan dicemari Covid-19?

KEMENTERIAN Kesihatan mengesahkan tiada kaitan ikan dengan jangkitan Covid-19 melibatkan kluster di Pelabuhan Ikan Jurong. - AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SINGAPURA: Tidak ada bukti menunjukkan penularan Covid-19 berlaku menerusi ikan yang tercemar, kata Pengarah Perkhidmatan Perubatan di Kementerian Kesihatan (MOH), Kenneth Mak.

“Kami yakin ikan yang kita makan dan nikmati tetap selamat untuk dimakan,” katanya semasa memberikan perincian mengenai peningkatan jumlah jangkitan yang dikaitkan dengan Pelabuhan Perikanan Jurong.

Terdapat 314 kes dikaitkan dengan kelompok yang semakin bertambah itu setakat ini, dan pihak berkuasa menjangkakan lebih banyak kes akan dikesan di pelabuhan dan pasar-pasar basah.

Bercakap semasa sidang akhbar pasukan bertindak berbilang kementerian Covid-19, beliau seperti dipetik Berita Mediacorp berkata, ujian filogenetik yang dilakukan ke atas kumpulan pertama kes yang dikesan di Pelabuhan Perikanan Jurong mendapati varian Delta menjadi punca kes Covid-19 dalam kelompok itu.

“Varian itu memiliki ciri yang mirip dengan yang telah kita lihat dalam kes lain yang dikesan dalam kalangan kes import dari Indonesia.

“Jadi kami percaya jangkitan Covid-19 dalam kelompok itu mungkin melalui jalan laut ke pelabuhan perikanan, mungkin dari kapal Indonesia atau kapal nelayan lain yang membawa ikan ke pelabuhan,” katanya.

Namun, beliau menambah bagaimana jangkitan dari kapal nelayan itu merebak ke pengendali gerai di pelabuhan ‘tidak begitu jelas’.

Meskipun usaha telah dilakukan untuk menjadikan operasi di pelabuhan ‘bebas kontak’, Mak berkata, ‘amat mencabar’ untuk menjaga langkah-langkah jarak selamat kerana persekitaran yang panas dan lembab serta kegiatan seperti mengangkat tong ikan dan ais batu yang berat di pelabuhan itu.

Beberapa kegiatan tanpa menggunakan pelitup dan interaksi rapat antara orang di sana juga mungkin berlaku, katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN