Hargai peluang tunai haji semasa pandemik Covid-19 - Utusan Malaysia

Hargai peluang tunai haji semasa pandemik Covid-19

JEMAAH haji perlu mengambil peluang untuk memohon keampunan daripada Allah Maha Esa sepanjang berada di tanah suci. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JEDDAH: Umat Islam yang berpeluang menunaikan ibadah haji tahun ini diingatkan supaya menghayati Rukun Islam kelima itu sepenuh hati. 

Hal ini kerana masih ramai yang belum berpeluang ke tanah suci lantaran menunggu tempoh penggiliran selain faktor pandemik Covid-19 yang mengehadkan bilangan jemaah. 

Mufti Arab Saudi, Sheikh Abdulaziz Abdullah Al-Sheikh memuji usaha yang dilakukan oleh agensi kerajaan dan swasta dalam memberikan layanan kepada tetamu Allah khususnya ketika kepemimpinan negara berusaha menangani wabak Covid-19. 

Beliau yang juga merupakan Pengerusi Autoriti Ulama Kanan dan Presiden Am bagi Penyelidikan Agama dan Fatwa Arab Saudi menzahirkan penghargaan kepada semua agensi yang bekerja keras bagi menjayakan ibadah haji dengan pelaksanaan langkah pencegahan dalam memastikan keselamatan dan keselesaan jemaah haji. 

Sheikh Abdulaziz turut menasihati jemaah haji mengambil peluang untuk memohon keampunan daripada Allah Maha Esa atas dosa-dosa sebelum ini sepanjang berada di tanah suci. 

 

SEKELUARGA DAPAT TUNAI HAJI 

Bagi Mohammed Al-Hokair, 22, dari Riyadh, keputusan permohonan haji yang diterima amat menggembirakan.

Katanya, selepas mendengar berita mengenai pelaksanaan ibadah haji diteruskan tahun ini, dia dan ibu bapa termasuk kakaknya terus melakukan proses pendaftaran. 

Jelasnya, permohonan dirinya dan kakaknya asalnya ditolak, namun, diterima semula kerana mendaftar sebagai pengiring kepada ibu bapanya. 

“Kami menerima permohonan beberapa minggu lalu dan saya berasa gementar pada mulanya. 

“Namun, sekarang saya berasa lega dan selamat. Peraturan haji kali ini menetapkan kepada jemaah yang pernah menunaikan sekurang-kurangnya sekali seumur hidup bagi yang berkemampuan. 

“Jadi saya tidak menolak peluang keemasan ini dan apa yang berlaku sekalipun saya tetap akan menunaikan haji kali ini. Ini adalah pengalaman pertama kali sepanjang hidup dan saya berasa sangat teruja,” katanya. 

 

PERMOHONAN DITOLAK 

Namun, di sebalik kegembiraan yang diraikan 60,000 jemaah haji, berbeza nasib yang menimpa Abu Hassan, 55, dari Jeddah. 

Katanya kepada Arab News, dia sudah mendaftarkan diri untuk mengerjakan haji secara dalam talian, namun, permohonan itu tidak berjaya. 

“Sangat mengecewakan pada mulanya kerana kali terakhir saya mengerjakan haji adalah 28 tahun lalu. Jadi saya sangat teruja untuk pergi lagi tahun ini terutamanya dengan bilangan jemaah kali ini.

“Saya menghargai sepenuhnya usaha kerajaan dalam melakukan proses pendaftaran haji secara elektronik. Mungkin Allah SWT mempunyai perancangan terbaik untuk saya, jadi saya menerimanya dengan hati terbuka,” luahnya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN