BEIJING: Golongan pelajar di China tidak dibenarkan kembali semula ke sekolah September depan melainkan seluruh keluarga mereka sudah menerima suntikan dos vaksin sepenuhnya.
Lapor BBC, beberapa bandar juga mengenakan syarat disuntik vaksin bagi memasuki tempat awam seperti hospital dan pasar raya.
Arahan itu datang ketika China menyasarkan sasaran imunisasi 64 peratus populasinya sehingga hujung tahun ini.
Tindakan itu mengikut jejak langkah Perancis dan Greece yang mewajibkan suntikan vaksin dalam beberapa sektor.
Satu notis yang disiarkan minggu ini di wilayah Guangxi menggesa orang ramai yang belum menerima suntikan vaksin mendapatkan suntikan segera bagi mengelakkan anak-anak mereka terkesan dan tidak dapat kembali ke sekolah.
Kerajaan tempatan di wilayah lain termasuk Jiangxi dan Henan mengeluarkan arahan sama iaitu hanya keluarga murid yang sudah divaksin dibenarkan menghadiri sesi persekolahan semester musim bunga baharu.
Bagaimanapun, undang-undang itu berbeza berdasarkan tempat tinggal anda.
Di wilayah Hebei di Pingxiang, golongan pelajar berusia antara 12 hingga 17 tahun tidak dibenarkan ke sekolah melainkan mereka menerima suntikan vaksin sepenuhnya.
Sementara di Hancheng di wilayah Shaanxi, individu yang belum menerima suntikan vaksin tidak dibenarkan ke hotel, restoran dan tempat hiburan lain.
Tempoh masa menerima vaksin berbeza mengikut kawasan, namun, kebanyakan kawasan meletakkan tarikh sehingga hujung Julai bagi menerima suntikan vaksin sebelum peraturan ketat itu dilaksanakan.










