JEDDAH: Umat Islam yang mengerjakan ibadah haji tahun ini didapati mematuhi protokol kesihatan di semua kawasan tanah suci sehingga tiada kes jangkitan Covid-19 berlaku dalam kalangan jemaah.
Jurucakap Kementerian Kesihatan, Dr. Mohammed Al-Abd Al-Aly membuat pengumuman menerusi sidang akhbar semalam bersama Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Haji dan Umrah, lapor Arab News.
Musim haji kali ini mencatatkan kes keletihan fizikal termasuk 651 pemeriksaan klinikal, 396 kes kecemasan, 37 kes keletihan haba, 26 ditahan di wad hospital serta enam kes melibatkan jantung.
Arab Saudi merekodkan sebanyak 14 kes kematian baharu akibat Covid-19 semalam sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan kematian adalah 8,075 kes.
Sebanyak 1,273 kes baharu dilaporkan semalam dengan jumlah kes keseluruhan sebanyak 512, 142.
Sementara itu, jurucakap Kementerian Dalam Negeri, Leftenan Kolonel Talal Al-Shalhoub menekankan kepentingan langkah keselamatan tambahan semasa musim haji kali ini.
Katanya, lebih banyak anggota polis ditempatkan bagi memantau pematuhan jemaah terhadap protokol ditetapkan selain memastikan jemaah haji berada dalam keadaan baik.
Beliau malah memberitahu terdapat 356 kes melanggar peraturan mengerjakan haji.
“Kebanyakan kes cuba memasuki kawasan Muzdalifah, Bukit Arafah dan Masjidil Haram.
“Saya ingin menekankan kepentingan mematuhi keselamatan ibadah haji serta mengelakkan daripada melanggar peraturan yang ditetapkan,” jelasnya.










