LONDON: Bermula hari ini, kerajaan Britain secara rasmi melonggarkan semua sekatan Covid-19 dan penduduk menyifatkan perkara itu sebagai ‘Hari Pembebasan’.
Biarpun mendapat tentangan daripada pelbagai pihak yang khuatir dengan langlah tersebut susulan kes jangkitan masih tinggi, Perdana Menteri Britain, Boris Johnson memberi keyakinan sudah tiba masanya untuk England ‘kembali normal semula’.
Namun, beliau masih menggesa orang ramai supaya sentiasa berhati-hati dan jangan terlalu selesa dengan keadaan semasa.
“Jika kita tidak lakukan sekarang (longgarkan semua sekatan), mungkin kita akan laksanakan pada musim luruh atau sejuk yang mana koronavirus akan menjadi lebih agresif.
“Ini adalah masa terbaik namun kita perlu lakukan secara penuh berjaga-jaga dan perlu diingatkan bahawa pandemik belum berakhir,” katanya.
Britain menjadi negara ketujuh di dunia paling tinggi merekodkan kadar kematian akibat Covid-19 iaitu 128,708 kes.
Negara ini juga menyaksikan 87 peratus populasi dewasanya sudah divaksin satu dos dan 68 peratus yang lain menerima vaksinasi lengkap.