Ekonomi England lumpuh jika jutaan penduduk jalani kuarantin kendiri - Utusan Malaysia

Ekonomi England lumpuh jika jutaan penduduk jalani kuarantin kendiri

ORANG ramai berjalan di Oxford Street di tengah London pada awal Jun lalu. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Ekonomi England bakal lumpuh sekiranya 3.5 juta penduduk diarahkan supaya menjalani kuarantin kendiri menjelang 19 Julai ini apabila kes jangkitan baharu diramalkan boleh bertambah sehingga 100,000 sehari.

Menerusi aplikasi yang dibangunkan oleh Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS), penduduk yang mempunyai kontak rapat atau bertemu dengan pesakit Covid-19 selama 15 minit perlu menjalani kuarantin kendiri selama 10 hari.

Daripada jumlah itu, dianggarkan 85,000 penduduk sehari akan menjalani kuarantin sendiri dan banyak sektor pekerjaan, perniagaan dan industri bakal terjejas.

Jumlah itu meningkat sehingga 62 peratus dalam tempoh seminggu dan menurut data NHS, sebanyak 356,036 ‘peringatan’ dikeluarkan menerusi aplikasi tersebut sepanjang minggu terakhir bulan lalu.

Daripada jumlah itu, sebanyak 241,499 individu terlibat dihubungi oleh pegawai berkenaan yang bertanggungjawab melaksanakan prosedur ‘Ujian dan Kesan Covid-19 NHS’.

APLIKASI NHS Covid-19 ini akan mengesan mana-mana individu yang mempunyai kontak rapat dengan pesakit koronavirus dan mengeluarkan peringatan kuarantin kendiri. – P

 

Tidak disenangi

Namun, aplikasi tersebut tidak disenangi pelbagai pihak termasuk anggota Kabinet Britain yang menyifatkannya seperti tidak masuk akal.

Barisan menteri mempersoalkan adalah logik untuk penduduk seramai itu menjalani kuarantin serentak selama 10 hari dan kesannya kepada pelbagai sektor terutamanya ekonomi di negara ini.

Sehubungan itu, kerajaan digesa supaya meneliti semula sistem aplikasi tersebut bagi memastikan proses mengesan dan pelaksanaan ujian Covid-19 di negara ini berjalan lancar tanpa mencetuskan panik kepada penduduk.

Barisan menteri juga bimbang jika sistem aplikasi itu tidak diperhalusi, ramai penduduk akan keliru dan akhirnya membuat keputusan memadam aplikasi berkenaan.

Tindakan itu secara tidak langsung menyukarkan lagi sistem kesihatan di negara ini untuk mengawal kadar penularan Covid-19.

Selain itu, pemain industri perniagaan juga menzahirkan kerisauan sekiranya begitu ramai penduduk yang perlu menjalani kuarantin kendiri, bagaimana semua premis perniagaan akan beroperasi?

 

Teliti semula

Dalam pada itu, Menteri Kesihatan Britain, Sahid Javid akan meneliti keberkesanan fungsi dan tahap sensitiviti sistem aplikasi tersebut.

Javid dijangka mewujudkan satu pilihan bagi mengurangkan tahap sensitiviti sistem aplikasi tersebut iaitu mana-mana penduduk yang sudah lengkap vaksinasi mungkin dibenarkan untuk bertemu dengan pesakit Covid-19 secara lebih lama sebelum diarahkan menjalani kuarantin kendiri.

Beliau sebelum ini mengumumkan sistem baharu yang akan membenarkan golongan lengkap vaksinasi untuk tidak menjalani kuarantin kendiri, namun perkara itu tidak akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat sehingga 16 ogos ini.

 

Terus guna

Aplikasi Covid-19 NHS itu sudah dimuat turun lebih 26 juta penduduk di seluruh England.

Namun, bukti tidak jelas menunjukkan sebahagian besar penduduk mula memadam aplikasi berkenaan kerana terasa ‘terganggu’ dengan arahan menjalani kuarantin kendiri.

Perdana Menteri Britain, Boris Johnson pula menasihatkan orang ramai supaya terus menggunakan aplikasi tersebut bagi mengelakkan kes jangkitan meningkat secara mendadak.

“Saya tahu ramai yang kecewa dengan sistem ini, termasuk letih dengan semua sekatan Covid-19. Namun, kita masih perlu berjaga-jaga bagi mengelak keadaan menjadi lebih teruk,” ujarnya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN