Dua pertiga penduduk India mempunyai antibodi Covid-19 - Utusan Malaysia

Dua pertiga penduduk India mempunyai antibodi Covid-19

PENDUDUK menunggu untuk mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 menerusi kempen imunisasi yang diadakan di sebuah sekolah di Hyderabad, India. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW DELHI: Hikmah di sebalik serangan pandemik Covid-19, sebanyak dua pertiga penduduk India sudah memiliki antibodi virus berdasarkan data tinjauan terhadap 29,000 orang di seluruh negara itu.

Tinjauan serum darah nasional keempat yang melakukan kajian terhadap antibodi dikenali sebagai tinjauan sero merangkumi 8,691 kanak-kanak berusia enam hingga 17 tahun.

Separuh daripada responden adalah seropositif.

Tinjauan itu mendapati 67.6 peratus golongan dewasa adalah seropositif, sementara, lebih 62 peratus dewasa belum menerima suntikan vaksin.

Sehingga Julai, lebih lapan peratus golongan dewasa di India sudah menerima dua suntikan vaksin.

Tinjauan turut menunjukkan sekitar 400 juta daripada 1.4 bilion penduduk belum memiliki antibodi mencegah virus.

Kes jangkitan harian di India menyaksikan penurunan selama empat bulan berturut-turut selepas gelombang kedua yang melumpuhkan sistem kesihatan.

Namun, pakar memberi amaran terhadap pihak berkuasa yang kembali membuka operasi di kawasan bandar serta melahirkan kebimbangan terhadap orang ramai yang berhimpun di kawasan tumpuan pelancongan.

Penasihat Kerajaan, Vinod Kumar Paul berkata, gelombang kedua masih berterusan dan wabak baharu yang muncul sangat berbahaya.

“Satu daripada tiga orang masih boleh terdedah kepada jangkitan dan pandemik tidak akan berakhir,” katanya.

Kajian itu turut melakukan tinjauan terhadap 7,252 petugas kesihatan dan mendapati 85 peratus daripadanya memiliki antibodi dengan hanya seorang daripada 10 individu belum menerima vaksin.

Bulan lalu, data menunjukkan sekurang-kurangnya separuh daripada golongan berusia 18 tahun ke bawah di Mumbai terdedah dengan Covid-19 dan mempunyai antibodi bagi mencegah jangkitan wabak itu.

Segelintir pakar meramalkan gelombang keitga akan menyerang golongan kanak-kanak.

Mumbai mengikut jejak langkah bandar lain membina wad pediatrik besar sebagai langkah persediaan. -REUTERS

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN