MANCHESTER: Seorang lelaki dipercayai dalam keadaan mabuk meletupkan rumah keluarganya ketika anak-anaknya tidur kerana bimbang ditinggalkan isterinya.
Clinton Parren, 43, menikmati makan malam bersama isterinya pada 30 Disember tahun lalu di rumah mereka di Wythenshawe, Manchester sebelum bertengkar.
Berdasarkan keterangan ketika sesi perbicaraan baru-baru ini, pasangan itu bertengkar mengenai perbezaan usia mereka yang sejauh 10 tahun dan Parren bimbang jika isterinya meninggalkan dia untuk mencari lelaki yang lebih muda.
Selepas bertengkar, isterinya masuk tidur dan Parren mencapai tong gas, meletakkannya di atas dapur dan menyalakan api.
Akibatnya, tong gas itu meletup dan mencetuskan bunyi kuat sehingga mengejutkan penduduk di sekitar kawasan perumahan tersebut.
Letupan tong gas itu memecahkan tingkap, siling dan pintu rumah pasangan suami isteri tersebut.
Namun, anak-anak serta isteri Parren tidak mengalami kecederaan dalam insiden berkenaan.
Selepas insiden itu, Parren ditahan polis dan dibicarakan atas kesalahan mendatangkan kecederaan serius kepada orang ramai dan merosakkan harta benda.