ATAMI: Pasukan kecemasan meneruskan operasi mencari serta menyelamat (SAR) 20 mangsa yang hilang dalam insiden tanah runtuh yang berlaku semalam.
Sehingga kini, dua mangsa yang merupakan wanita disahkan maut dalam insiden tersebut, manakala kira-kira 20 lagi hilang, dipercayai terperangkap di bawah timbunan tanah.
Jurucakap pengurusan bencana bandar Atami, Yuta Hara berkata, 19 mangsa sudah diselamatkan dan pasukan SAR bertungkus lumus melakukan yang terbaik.
Katanya, sebanyak 130 kediaman dan beberapa bangunan lain musnah akibat tanah runtuh tersebut.
“Sejumlah kenderaan juga mengalami kerosakan akibat tanah runtuh yang berlaku sejauh satu kilometer dan seluas 120 meter.
“Ratusan anggota kecemasan dan anggota tentera berada di lokasi kejadian bagi melakukan operasi SAR,” katanya.
Hujan renyai-renyai juga mengiringi operasi SAR dan usaha itu mungkin dihentikan buat sementara waktu sekiranya keadaan cuaca bertambah buruk. – AFP