Aliran projek kukuh TNB, pacu sektor infrastruktur tenaga

Aliran projek kukuh TNB, pacu sektor infrastruktur tenaga

ASAS sektor infrastuktur tenaga kekal disokong oleh aliran projek kukuh daripada TNB, pembangunan pusat data dan inisiatif solar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sektor infrastruktur tenaga dijangka terus mengekalkan momentum positif, didorong oleh aliran projek yang kukuh daripada Tenaga Nasional Bhd. (TNB), pertumbuhan pesat pusat data serta pelancaran program solar berskala besar.

Menurut Hong Leong Investment Bank (HLIB), suku-suku mendatang berkemungkinan menjadi titik perubahan buat pemain industri, selepas melalui suku pertama yang lazimnya lebih perlahan.

“Kami menjangkakan prestasi pendapatan suku pertama yang bercampur dalam sektor infrastruktur tenaga, dipengaruhi oleh masa pelaksanaan projek dan produktiviti yang biasanya lebih rendah secara bermusim.

“Pemeriksaan kami mendapati kontraktor mekanikal dan kejuruteraan (M&E) kehilangan antara lima hingga 15 hari bekerja akibat sambutan Tahun Baharu Cina dan perayaan Aidilfitri,” katanya dalam satu nota penyelidikan.

Bagaimanapun, katanya, gangguan jangka pendek itu tidak menjejaskan asas kukuh sektor terbabit.

“Kami melihat kesan minimum daripada ketegangan perdagangan global terhadap pemain yang berfokuskan pasaran domestik. Asas sektor ini kekal disokong oleh aliran projek kukuh daripada TNB, pembangunan pusat data dan inisiatif solar.

“Walaupun kontraktor M&E dijangka mencatatkan pendapatan suku tahunan yang lebih lemah, pengeluar kabel pula dijangka menunjukkan prestasi lebih baik, disokong gangguan pengeluaran yang rendah dan kadar penukaran baki pesanan yang stabil,” katanya.

HLIB turut menyatakan momentum tawaran tender daripada TNB kekal kukuh sepanjang 2024, selari komitmen perbelanjaan modal sebanyak RM42.8 bilion di bawah Tempoh Kawal Selia Keempat (RP4).

“Kontrak kabel voltan rendah 1+1 TNB yang baru dianugerahkan dengan nilai keseluruhan dianggarkan 67 peratus lebih tinggi berbanding 2022 hingga 2023 telah menjadi petunjuk awal terhadap kesinambungan aliran projek TNB pada masa akan datang,” ujarnya.

Antara syarikat yang berjaya meraih sebahagian besar projek, termasuk MN Holdings Bhd., UUE Holdings Bhd. dan Jati Tinggi Group Bhd., manakala pengeluar kabel seperti Southern Cable Group Bhd., OSK Holdings Bhd. dan Master Tec Group Bhd. mencatatkan peningkatan pesanan besar sehingga 280 peratus berbanding kitaran sebelumnya.

Sementara itu, segmen pusat data yang berkembang pesat terus menawarkan peluang luas bagi kerja-kerja berkaitan infrastruktur.

“Pemeriksaan saluran kami menunjukkan tiada penarikan balik setakat ini daripada perjanjian bekalan elektrik sebanyak 5.9 gigawatt (GW) yang telah ditandatangani oleh TNB bersama pengendali pusat data.

“Ini mengukuhkan keyakinan kami bahawa momentum sektor infrastruktur tenaga yang dipacu oleh permintaan pusat data kekal kukuh sekurang-kurangnya sehingga 2025,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN