PETALING JAYA: Hasrat Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump untuk membatalkan sekatan dan menyemak semula peraturan eksport cip kecerdasan buatan (AI) dijangka memberi lonjakan kepada sentimen sektor semikonduktor global, termasuk pemain tempatan seperti Nationgate Holdings Bhd.
Menurut Kenanga Research, langkah itu memberi petunjuk kepada perubahan dasar berbanding pendekatan pentadbiran terdahulu yang mengenakan kawalan ketat terhadap pengeksportan cip AI ke negara tertentu.
“Ia berpotensi memulihkan semula permintaan terhadap produk berkaitan AI, termasuk modul pemasangan cip yang dilaksanakan oleh Nationgate.
“Saham syarikat itu telah merosot sebanyak 43 peratus sejak sekatan diumumkan era Presiden Joe Biden dan sebarang kelonggaran dasar dijangka menggalakkan pemulihan,” kata firma penyelidikan itu dalam satu nota kajian.
Firma itu berkata, pengumuman rasmi pembalikan dasar itu belum dimuktamadkan, namun perkembangan positif ini dilihat mampu merangsang semula minat pelabur terhadap firma-firma cip global seperti Nvidia Corp dan Advanced Micro Devices Inc.
Mengulas lanjut, Kenanga tidak menolak kemungkinan akan wujud perjanjian berbentuk antara kerajaan ke kerajaan (G2G) dalam rangka kerja penyebaran AI baharu yang dijangka diperkenalkan.
“Trump telah merancang untuk membatalkan dan menyemak semula sekatan eksport cip AI canggih era Biden, sebagaimana disahkan jurucakap Jabatan Perdagangan AS di Washington.
“Sekatan sedia ada bertujuan menyekat akses China kepada kuasa pengkomputeran AI, sekali gus memelihara dominasi teknologi oleh AS dan sekutunya,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Trump juga dijangka mengumumkan pelonggaran sekatan eksport cip AI kepada beberapa negara Teluk terpilih, termasuk Emiriah Arab Bersatu (UAE), semasa lawatannya ke Asia Barat dari 13 Mei hingga 16 Mei ini.
Media antarabangsa sebelum ini melaporkan UAE kini berada di bawah Tahap 2 dalam rangka kerja penyebaran AI AS dan berdepan sekatan ke atas pengimportan pemproses termaju.
Sementara itu, Kenanga mengekalkan saranan ‘neutral’ terhadap sektor teknologi dengan menyenaraikan Kelington Group Bhd. sebagai pilihan utama, memandangkan syarikat itu memiliki keterlihatan pendapatan kukuh hasil daripada tempahan projek yang stabil.
“Walaupun beberapa saham tersenarai dalam liputan kami diberi saranan ‘outperform’, ketidaktentuan dasar dan risiko tarif Trump terus mengekang prestasi harga dalam julat tidak menentu.
“Sehubungan itu, kami menyarankan pelabur agresif agar mengambil pendekatan bersifat dagangan dalam menghadapi ketidaktentuan semasa,” katanya.-UTUSAN










