LONDON: Senarai menunggu kemasukan ke hospital di England boleh mencecah 13 juta orang dalam tempoh beberapa bulan akan datang selepas lebih setahun perintah berkurung dilaksanakan.
Menteri Kesihatan Britain, Sajid Javid berkata, rekod senarai menunggu ketika ini adalah sebanyak 5.3 juta orang dan angka itu akan berlipat ganda pada musim panas akan datang.
Beliau percaya, pandemik Covid-19 memberi kesan besar terhadap masalah kesihatan dan juga golongan yang enggan mendapatkan rawatan kerana bimbang dijangkiti virus itu di hospital.
Javid memberitahu The Telegraph, beliau akan berusaha sebaik mungkin untuk mengelakkan jumlah dalam senarai menunggu masuk ke hospital itu tidak mencecah angka seperti yang dijangkakan.
“Saya tidak dapat bayangkan bagaimana keadaan jika berbelas juta penduduk menunggu untuk dimasukkan ke hospital bagi mendapatkan rawatan, terutamanya mereka yang mempunyai penyakit kronik?,” katanya.
Data terkini menunjukkan sebanyak tujuh penduduk yang sebelum pandemik sering mendapatkan rawatan perubatan di hospital berhenti melakukan perkara itu ketika keadaan semakin buruk.
Jumlah itu termasuk puluhan ribu pesakit yang terlepas pemeriksaan untuk penyakit kanser, jantung dan kesihatan mental.
Sehubungan itu, Javid mahu segera menyelesaikan senarai menunggu itu bagi mengelak keadaan lebih buruk berlaku.










