Salahkah menjadi Islam? - Utusan Malaysia

Salahkah menjadi Islam?

SEORANG kanak-kanak meletakkan patung permainan untuk mangsa yang terselamat dalam insiden sekeluarga dilanggar di lokasi kejadian di London, Ontario, Kanada. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ONTARIO: ‘Berita ini amat mengecewakan saya, apa salah mereka? salahkah menjadi Islam?’

Itu adalah reaksi seorang daripada rakan empat sekeluarga yang dilanggar sehingga mati oleh seorang suspek dalam satu kejadian di sini kelmarin.

Qazi Khalil berkata, dia sukar menerima kenyataan bahawa rakan-rakannya sudah meninggal dunia dengan cara paling menyayat hati.

Katanya, jenayah kebencian menjadikan agama sebagai sasaran sedangkan setiap agama itu dipenuhi dengan nilai moral yang baik.

Terdahulu, polis di wilayah Ontario, Kanada memaklumkan seorang lelaki sengaja melanggar lima sekeluarga dengan empat daripadanya maut hanya kerana mereka beragama Islam.

Lapor media tempatan, hanya seorang terselamat daripada ‘insiden terancang’ itu iaitu seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun, namun dia mengalami kecederaan parah.

Kesemua mangsa dilanggar pada petang Ahad lalu ketika menunggu untuk menyeberangi jalan di bandar London, kira-kira 200 kilometer ke barat daya Toronto.

Empat mangsa yang terkorban adalah dua wanita masing-masing berusia 77 dan 44 tahun, seorang lelaki (46 tahun) dan remaja perempuan (15 tahun).

Jurucakap polis London, Paul Waight berkata, terdapat bukti menunjukkan kemalangan itu sudah dirancang dan motif disebabkan oleh jenayah kebencian, namun polis masih menyiasat jika kejadian
itu mempunyai kaitan dengan serangan keganasan.

“Keluarga itu menjadi sasaran kerana mereka beragama Islam. Ini adalah jenayah kebencian,” katanya seperti yang dipetik CityNews.

Kejadian itu berlaku ketika serangan berunsurkan Islamofobia di beberapa wilayah di seluruh Kanada semakin meruncing.

Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau menyifatkan insiden itu sebagai ‘amat dahsyat’ dan manzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa.

“Kepada semua komuniti Islam di London dan seluruh negara, kami sentiasa bersama anda. Islamofobia tiada tempat dalam masyarakat kita,” tegas Trudeau.

Sehubungan itu, seorang suspek berusia 20 tahun yang dikenali sebagai Nathaniel Veltman ditahan dan didakwa empat pertuduhan membunuh dan satu cubaan membunuh.

KOMUNITI ISLAM TERUS JADI SASARAN

Data statistik menunjukkan jenayah kebencian melibatkan komuniti Islam meningkat kepada 181 kes pada 2019 berbanding 166 insiden pada tahun sebelumnya.

Golongan wanita Islam di wilayah Alberta turut menjadi sasaran sejak beberapa bulan lalu apabila mereka sering dimaki, malah ada yang dipukul.

Pada September tahun lalu, seorang lelaki Islam, Mohamed Aslim Zafis ditikam sehingga mati di luar sebuah masjid di Toronto.

BERKABUNG TIGA HARI

Datuk Bandar London, Ed Holder mengarahkan bendera diturunkan separuh tiang selama tiga hari sebagai tanda berkabung atas insiden yang berlaku. – AFP/AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya