LAHORE: Seorang wanita warga emas berusia 80 tahun meninggal dunia selepas seorang pengawal keselamatan di sebuah hospital menyamar sebagai doktor dan melakukan prosedur pembedahan terhadapnya.
Shameema Begun meninggal dunia kelmarin, dua minggu selepas Muhammad Waheed Butt cuba merawat luka di bahagian belakangnya di sebuah hospital umum di timur Lahore.
Menurut sumber di Hospital Mayo, kejadian itu berlaku tanpa disedari dan menegaskan pihaknya tidak boleh mengawal semua aktiviti yang dilakukan oleh para doktor dan petugas di hospital berkenaan.
“Kami tidak pasti pembedahan apa yang dilakukan oleh pengawal keselamatan itu terhadap wanita terbabit,” jelas sumber tersebut.
Terdahulu, keluarga wanita tersebut turut membayar pengawal keselamatan itu bagi melakukan pembedahan dan rawatan di rumah sebanyak dua kali.
Sementara itu, mayat wanita itu disimpan di hospital bagi proses bedah siasat, manakala pengawal keselamatan itu sudah ditahan polis. – AFP