ACEH: Seorang nelayan meninggal dunia akibat disambar petir ketika sedang menjala ikan di tengah laut di Desa Seumatang Muda Itam, Aceh Timur.
Lapor Tribunnews, kejadian berlaku pada pukul 8.30 pagi ketika mangsa dengan adiknya menuju ke laut.
Ketua Polis Aceh Timur, Eko Widiantoro berkata, mangsa dikatakan disambar petir ketika mereka sedang menarik jaring di tengah laut.
“Cuaca ketika itu gerimis disertai angin kencang dan petir.
“Ketika mangsa menarik jaring dalam tempoh 30 minit, tiba-tiba kilat menyambar mangsa di laut. Adiknya kemudian terjun ke laut dan mengangkat abangnya ke sampan yang sudah pecah di bahagian depan akibat disambar petir,” katanya.
Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Sultan Abdul Aziz Syah Peureulak dan disahkan maut oleh petugas perubatan.
Doktor memaklumkan mangsa mengalami kecederaan dan beberapa luka di bahagian leher, telinga di sebelah kanan dan bahu.










