NEPAL: Seorang lelaki berusia 46 tahun berjaya menawan puncak tertinggi di dunia sekali gus menempa sejarah sebagai individu cacat penglihatan pertama di Asia dan ketiga di dunia mendaki Gunung Eeverest.
Zhang Hong berjaya melengkapkan pendakian setinggi 8,849 meter di Gunung Himalaya, 24 Mei lalu dan kembali ke base camp, 27 Mei.
Zhang lahir di bandar Chongqing terletak di barat daya China hilang penglihatan sejak berusia 21 tahun akibat mengalami glaukoma iaitu sejenis penyakit saraf mata.
Dia mendapat inspirasi daripada Erik Weihenmayer, seorang lelaki buta Amerika Syarikat yang menawan puncak Everest pada 2001.
“Tidak kisah sama ada anda normal atau kelainan upaya, sama ada kehilangan penglihatan atau tiada kaki mahupun tangan, ia tidak bermakna selagi mempunyai minda yang kuat selagi itulah anda boleh membuktikan perkara yang dinafikan oleh orang lain,” katanya.
Lelaki itu mendapat bimbingan dan latihan dari malim gunung, Qiang Zi.
Nepal membuka semula Gunung Everest sejak April lalu kepada pendaki luar selepas ditutup tahun lalu akibat pandemik Covid-19. -REUTERS










