Guna ekzos Lamborghini panggang barbeku - Utusan Malaysia

Guna ekzos Lamborghini panggang barbeku

SEORANG lelaki menggunakan api dari ekzos kereta Lamborghini untuk memanggang barbeku. - AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEIJING: Seorang lelaki di China dilaporkan menggunakan api dari ekzos kereta Lamborghini yang dimilikinya untuk ‘memanggang barbeku’.

Akibat perbuatan itu, lelaki tersebut terpaksa menanggung kos kerugian kira-kira AS$80,000 (RM329,808) untuk membaiki keretanya apabila ekzos berkenaan rosak.   

Lapor Oddity Central, klip video berdurasi lima minit yang memaparkan lelaki muda itu melakukan aksi tersebut menjadi tular dalam laman media sosial.

Jelas laporan itu, beberapa hari lalu, sekumpulan lelaki berkumpul di sebuah garaj bawah tanah di Changsha, wilayah Hunan untuk menyaksikan pemuda itu memanggang barbeku menggunakan ekzos Lamborghini.  

“Kumpulan lelaki itu beranggapan agak menyeronokkan dapat memanggang barbeku menggunakan api ekzos Lamborghini tanpa memikirkan akibatnya pada kereta tersebut.

“Apabila pedal minyak terus ditekan tanpa kereta bergerak, ia akan beri tekanan pada ekzos dan akibatnya, radiator kereta berkenaan meletup sehingga mengeluarkan asap tebal,” menurut laporan itu.

Cecair penyejuk atau ‘coolant’ dilaporkan bocor dari bawah kenderaan tersebut.       

Video itu turut mencetuskan kemarahan dalam kalangan orang ramai dengan kebanyakannya mengutuk sikap bodoh kumpulan lelaki tersebut kerana Lamborghini bukan kereta mampu dimiliki semua pihak.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN