BEIJING: Seekor babi yang menjadi terkenal selepas terselamat semasa gempa bumi kuat pada 2008, dilaporkan mati Rabu lalu.
Babi bernama Zhu Jianqiang atau ‘Strong-Willed Pig’ ditemukan masih hidup selepas 36 hari bertarung nyawa dalam runtuhan bangunan 13 tahun lalu.
Gempa bumi berukuran 7.9 skala Richter yang melanda Sichuan menyebabkan 90,000 orang terkorban dan hilang.
Semasa ditemukan menerusi usaha mencari dan menyelamat, binatang itu digelar sebagai simbol harapan dan ketahanan.
Jutaan penduduk negara ini melayari media sosial Weibo untuk memperingati babi itu dan memberikan penghargaan sepanjang hidupnya.
Babi itu disahkan mati ketika mencecah usia 14 tahun. -BBC










