HONG KONG: Akhbar prodemokrasi, Apple Daily dijangka ditutup dalam masa beberapa hari lagi selepas pihak berkuasa Hong Kong membekukan aset syarikat media itu dibawah undang-undang keselamatan baharu negara itu.
Perkara itu disahkan oleh seorang penasihat kepada jutawan dan taikun media Hong Kong, Jimmy Lai kepada Reuters.
Mark Simon ketika dihubungi berkata, syarikat induk Apple Daily iaitu Next Digital akan mengadakan mesyuarat pada hari ini bagi membincangkan langkah seterusnya.
“Pada awalnya, kami rasa akhbar itu mampu bertahan sehingga akhir bulan ini tetapi situasi semakin sukar dan mungkin dalam masa beberapa hari sahaja,” kata Simon dari Amerika Syarikat (AS).
Komen beliau menunjukkan penutupan syarikat akhbar itu akan dilakukan segera walaupun pihak pengurusan Apple Daily memaklumkan masih mempunyai wang mengendali operasi untuk beberapa minggu lagi.
Baru-baru ini, seramai 500 anggota polis menyerbu pejabat Apple Daily dengan mendakwa beberapa laporan berita dihasilkan syarikat media itu melanggar undang-undang keselamatan negara.
Pihak berkuasa turut membekukan aset bernilai AS$ 2.3 juta (RM9.6 juta) yang dimiliki tiga syarikat berkaitan Apple Daily. – REUTERS










