MUMBAI: Sebanyak 18 orang maut dalam kebakaran di sebuah kilang bahan kimia di bandar Pune, barat India.
Menurut polis, sebanyak 20 orang berjaya diselamatkan dalam kejadian tersebut.
Katanya, semua mayat mangsa yang maut akibat kebakaran itu, ditemukan.
Pihak pentadbiran daerah telah mengarahkan siasatan dijalankan bagi mengenal pasti punca kebakaran kilang bahan kimia itu.
Berdasarkan laporan media tempatan, kebakaran itu berlaku di sebuah kilang milik syarikat pengeluar SVS Aqua Technologies yang menghasilkan beberapa produk termasuk cecair pembasmi kuman.
Rakaman video yang dikongsi di media sosial menunjukkan kepulan asap tebal memenuhi ruang udara di lokasi kejadian ketika anggota bomba cuba memadamkan kebakaran kilang tersebut.
Perdana Menteri India, Narendra Modi menerusi Twitter menzahirkan ucapan takziah kepada ahli keluarga mangsa.
Pejabat Perdana Menteri memaklumkan waris terdekat atau ahli keluarga kepada mangsa yang maut dalam kebakaran itu akan menerima pampasan sebanyak 200,000 rupees (RM11,338) daripada dana bantuan.
Mangsa tercedera pula dilaporkan akan mendapat 50,000 rupees (RM2,834). – REUTERS










