Panglima tentera udara Korea Selatan letak jawatan - Utusan Malaysia

Panglima tentera udara Korea Selatan letak jawatan

LEE SEONG-YONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEOUL: Panglima Angkatan Tentera Udara Korea Selatan, Lee Seong-yong mengumumkan peletakan jawatannya selepas hampir sembilan bulan memegang jawatan berkenaan.

Seong-yong tampil meminta maaf dan mengambil tanggungjawab atas insiden kematian salah seorang anggota tenteranya yang didakwa membunuh diri selepas mengalami gangguan seksual.

Seong-yong meletak jawatan sehari selepas seorang sarjan tentera udara ditahan atas tuduhan mencabul dan mencederakan seorang anggota wanita berpangkat sama pada Mac lalu.

“Saya mengambil tanggungjawab sepenuhnya berhubung situasi tersebut.

“Saya mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa yang ketika ini berkabung atas kematian anaknya,” kata Seong-yong.

Dilaporkan, Presiden Moon Jae-in menerima peletakan jawatan Seong-yong.

Seong-yong yang dilantik secara rasmi oleh Jae-in pada September tahun lalu.

Peletakan jawatan itu menjadikan Seong-yong sebagai Panglima Tentera Udara Korea Selatan yang paling singkat berkhidmat.

Ahli keluarga mangsa mendakwa, anggota tentera itu mengalami tekanan mental dan telah dibuli secara berterusan.

Mereka juga mendakwa tentera udara Korea Selatan cuba menyembunyikan kes gangguan seksual yang dialami anggota itu sejak dua bulan lalu.

Insiden itu mencetuskan kemarahan orang awam selepas keluarga mangsa memfailkan petisyen
kepada Jae-in meminta menjalankan siasatan menyeluruh dan mengenakan hukuman terhadap individu yang terlibat dalam kes tersebut.

Setakat ini, lebih 326,000 orang menandatangani petisyen tersebut. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN