PADANG SIDEMPUAN: Sejumlah penduduk membantah mayat seorang individu yang disahkan positif Covid-19 dikebumikan di tanah perkuburan di padang Sidempuan, Kota Padang.
Lapor Kompas.com, bantahan itu dilakukan selepas Pasukan Petugas Covid-19 Kota Padang Sidempuan mengebumikan mayat mangsa di kawasan perkuburan itu.
Seorang penduduk, Khoirunnisa Hasibuan berkata, penduduk menuntut kubur itu digali semula dan dipindahkan segera.
“Kami mahu kubur itu dipindahkan semula kerana berada sangat dekat dengan rumah saya. Sedangkan sudah ada tanah perkuburan khusus bagi pesakit Covid-19 tetapi kenapa harus dikebumikan di sini?” soalnya.
Tokoh masyarakat setempat, Haidir Nasution berkata, dia mengetahui perkara itu berdasarkan laporan daripada penduduk dan melihat sendiri video di perkuburan itu.
“Saya melihat petugas menanam mayat mangsa lengkap memakai peralatan perlindungan diri (PPE) sedangkan tiada sebarang penyelarasan dibuat dengan pihak saya.
“Oleh itu, saya meminta penduduk supaya tenang dan bersabar dahulu,” katanya.
Sehingga pukul 11.30 malam, penduduk masih menunggu keputusan daripada pihak berkuasa, namun, masih tiada jawapan dan penyelesaian yang diambil.
Akhirnya, penduduk nekad membakar dan menghancurkan kubur tersebut.
Bagaimanapun, tindakan itu terhenti selepas pasukan Covid-19 dan beberapa pemimpin daerah datang ke lokasi tersebut.
Mereka menjelaskan kepada penduduk mengenai mayat pesakit wabak itu tidak lagi menyebarkan virus kepada orang lain, malah, jenazah juga dikebumikan berpandukan protokol kesihatan yang ketat.