Israel cabuli undang-undang antarabangsa - Utusan Malaysia

Israel cabuli undang-undang antarabangsa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RIYADH: Arab Saudi mengecam sekeras-kerasnya tindakan tidak bertanggungjawab yang dilakukan oleh tentera Israel terhadap penduduk Palestin di Semenanjung Gaza dan Tebing Barat.

Penegasan itu disuarakan oleh Menteri Luar Arab Saudi, Putera Faisal bin Farhan menerusi perbualan telefon dengan Menteri Luar Pihak Berkuasa Palestin, Riyad Al-Maliki berhubung serangan rejim Zionis terhadap penduduk Palestin sejak beberapa hari lalu.

Dalam perbualan itu, Putera Faisal turut menekankan Israel perlu menghentikan keganasan berterusan yang disifatkan melanggar undang-undang dan konvensyen antarabangsa.

Putera Faisal turut menggesa mempercepatkan usaha mencari keadilan dan penyelesaian komprehensif terhadap isu Palestin yang membolehkan penduduknya mempunyai negara sendiri, dengan Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu negara.

Katanya, langkah itu selaras dengan keputusan antarabangsa dan Pelan Damai Arab.

Menteri Luar Jordan, Ayman Safadi senada dengan Putera Faisal berhubung usaha bersama menamatkan keganasan Israel di Gaza serta serangan zionis di Baitulmuqaddis dan seluruh wilayah Palestin sebagai pendekatan untuk menghentikan konflik semasa.

“Penjajahan merupakan asas kepada konflik dan mewujudkan gerakan politik yang efektif adalah keutamaan kepada kami,” katanya menerusi satu ciapan di Twitter.

Menurut Ayman, pihaknya sudah berbincang dengan rakan sejawatnya dari Oman dan Mesir berhubung keganasan baru-baru ini yang tercetus di wilayah Palestin.

Dalam pada itu, beberapa anggota Kongres dari Parti Demokrat menyelar tindakan Amerika Syarikat (AS) menyokong kempen ketenteraan terbaharu Israel di Gaza dan menggesa agar hak asasi manusia penduduk Palestin dilindungi.

Dalam ucapan penuh beremosi, ahli Kongres, Rashida Tlaib mengkritik Presiden Joe Biden dan pegawai tertinggi lain berikutan kenyataan mereka yang berpihak kepada penjajahan Israel dan tidak menitikberat kekejaman dilakukan terhadap penduduk Palestin.

Ahli Kongres, Ilhan Omar pula mengutuk dasar dan serangan Israel terhadap penduduk Palestin dan melabelkan Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu sebagai `pemimpin etno-nasionalis’.

Israel terus melancarkan serangan udara dan darat tanpa henti sehingga membunuh lebih 150 penduduk Palestin termasuk kanak-kanak sejak Isnin lalu.

Di Semenanjung Gaza, sekurang-kurangnya 140 penduduk Palestin termasuk 39 kanak-kanak terbunuh manakala lebih 950 orang cedera dalam serangan berdarah.

Angka kematian dijangka terus meningkat apabila serangan udara tentera Israel mengenai sebuah kem pelarian di Gaza sehingga mengakibatkan 10 penduduk Palestin termasuk lapan kanak-kanak maut serta sejumlah penghuni terperangkap di bawah runtuhan bangunan.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menganggarkan  lebih 10,000 penduduk Palestin meninggalkan kediaman mereka di Gaza di tengah-tengah serangan berterusan tentera Israel.

Di Tebing Barat pula, pertempuran antara tentera Zionis dan penunjuk perasaan Palestin yang menentang serangan di Gaza menyaksikan sekurang-kurangnya 13 orang maut.

Keganasan antara Israel dan Palestin semakin buruk sejak beberapa hari lalu selepas ketegangan meningkat di Baitulmuqaddis Timur berikutan pasukan keselamatan Israel menyerbu Masjid Al-Asqa dan menyerang penduduk Palestin. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.